Mulai sesi persekolahan tahun depan, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma.

Sehubungan itu,  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 mengumumkan semua bentuk yuran dan bayaran akan dimansuhkan.

NONE“Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful.

“Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan.

“Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma,” katanya.

Menurut Najib, pemansuhan semua bayaran itu akan membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Beliau juga memberi jaminan kerajaan akan memastikan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik dengan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Sehubungan itu, kerajaan mengumumkan sektor pendidikan akan diperuntukkan RM50.2 bilion bagi tahun 2012 dan daripada jumlah itu, RM1.9 bilion diperuntukkan untuk pembangunan.

azlanWang itu, menurut perdana menteri, akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“Sebagai tambahan, peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

“Daripada peruntukan tersebut, RM500 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains MARA,” katanya.